Teras belum pertimbangkan untuk menyertai GPS atau PH

Datuk Peter Nansian Ngusie - file pic

KUCHING, Jun 14: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) belum lagi memutuskan sama ada untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Pakatan Harapan (PH), ekoran keadaan parti itu yang ketika ini masih belum diaktifkan semula.

Bagaimanapun, Datuk Peter Nansian Ngusie yang memangku kedudukan presiden parti itu berkata pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan menyertai GPS mahupun PH, sekiranya ia boleh membawa hala tuju yang lebih baik kepada parti.

“Kami tidak keberatan untuk menyertai mana-mana gabungan sama ada GPS atau PH jika diperlukan, namun buat masa ini kami tidak mahu membuat keputusan dahulu kerana keadaan parti yang sudah tidak aktif lagi,” katanya ketika ditemu-bual.


Nansian menambah adalah penting sekarang untuk melihat pencapaian yang mampu dibawa oleh GPS dan PH, dan selepas itu baharulah keputusan boleh dibuat untuk Teras menyertai salah satu daripadanya.

“Bagi ruang dulu kepada GPS dan PH untuk melakukan segala perancangan mereka, kita tunggu dan lihat dulu…mana yang bagus, itu yang kita ikut kerana tujuan kita menyertai politik adalah demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, bekas ADUN Tasik Biru dan anggota kabinet negeri yang sudah bersara dari politik itu berkata pada masa ini, adalah lebih baik untuk memberikan peluang kepada orang muda untuk berkecimpung dalam politik.

“Semakin ramai orang muda menyertai politik sekarang dan saya rasa lebih baik kita memberikan peluang kepada mereka untuk berjuang dengan parti,” katanya.

Namun demikian, Nansian enggan mengulas mengenai penubuhan GPS sebaliknya hanya mahu melihat kemampuan mereka selepas ini. — DayakDaily