Naroden janji bina rumah baharu untuk mangsa kebakaran

Naroden (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada keluarga Abdul Rashid yang rumahnya musnah dalam kebakaran baru-baru ini.

KOTA SAMARAHAN, Jun 14: Abdul Rashid Bujang sekeluarga, yang rumahnya di Kampung Lubok Buntin Hulu di sini yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini, kini boleh menarik nafas lega apabila mereka dijanjikan dengan sebuah rumah baharu.

Ia setelah nasib malang yang menimpa mereka ketika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri mendapat perhatian daripada Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Datuk Mohd Naroden Majais.

Menurut Naroden ketika melawat Abdul Rashid sekeluarga baru-baru ini, beliau akan membantu membina sebuah rumah baharu untuk mereka di tapak rumah lama, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.


Katanya, rumah baharu tersebut akan dibina dengan kos kira-kira RM30,000 yang dilengkapi dua bilik tidur, satu tandas, dapur dan ruang tamu.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini, yang tinggal sehelai sepinggang ketika kita hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya berharap dengan pembinaan rumah baharu ini akan memberikan keceriaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui semasa melawat Abdul Rashid sekeluarga yang kini tinggal menumpang di rumah saudara mereka di kampung yang sama.

Selain berjanji membina sebuah rumah, Naroden turut menghulurkan bantuan makanan dan pakaian termasuk wang tunai untuk meringankan beban keluarga Abdul Rashid, lebih-lebih lagi dalam menyambut syawal esok. — DayakDaily