Tenis letakkan Sarawak di peta dunia, lahirkan pemain dunia serta rancakan ekonomi

Pemain-pemain dari 16 negara yang bertanding dalam pertandingan '2024 ITF World Junior Team Competition Asia/Oceania Final Qualifying U-14'.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Mac: Sukan tenis berjaya meletakkan Sarawak di peta dunia, kata Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew.

Menurut beliau, sejak tahun 2000 lagi Kompleks Tenis SLTA di Jalan Crookshank di sini sering menganjurkan kejohanan tenis peringkat antarabangsa.


Katanya, penganjuran beberapa kejohanan pada setiap tahun membawa pemain, jurulatih, pegawai dan ibubapa dari pelbagai negara ke Kuching.

“Inilah yang kita (SLTA) banggakan kerana mampu membantu mempromosi Bandaraya Kuching.

“Semakin ramai penduduk dunia mengenali Sarawak dan kita akan terus menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perasmian ‘2024 ITF World Junior Team Competition Asia/Oceania Final Qualifying U-14’ di SLTA pada Isnin lepas (25 Mac).

Selain itu, Liew juga yakin penganjuran setiap acara juga telah merancakkan aktiviti ekonomi di sekitar Kuching.

Sebagai contoh, jelas beliau, kos penganjuran bagi kejohanan ITF Junior adalah sekitar USD52,000 iaitu bersamaan RM230,000.

“Justeru, saya yakin ia membawa pusingan ekonomi sekitar lebih RM500,000 ke Sarawak.

“Bayangkan pemain dan jurulatih akan berada empat hingga lima hari atau seminggu di sini. Mereka memerlukan penginapan (hotel), pengangkutan dan makanan,” katanya.

Liew (dua dari kiri) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Tep (kanan).

Sementara itu, Presiden Persatuan Tenis Cambodia merangkap Naib Presiden Persekutuan Tenis Asia (ATF) Tep Rithivit memuji usaha SLTA pimpinan Liew dalam pembangunan sukan tenis di peringkat Asia dan dunia.

Kata Tep, penganjuran kejohanan peringkat junior di Kuching adalah platform bagi pemain junior mengejar ranking.

“Masa depan pemain-pemain muda ini adalah ditangan Patrick (SLTA),” katanya.

Penganjuran kejohanan tenis peringkat junior di Kuching sejak tahun 2000 telah melahirkan ramai pemain profesional dunia.

Antaranya ialah bekas pemain nombor satu dunia wanita Asleigh Barty dan Nick Kyrgios. — DayakDaily