Tengku Hassanal berkenan mencemar duli hadiri Majlis Jamuan Teh bersama Premier Sarawak

Tengku Hassanal bersiar-siar di sekitar kawasan Dataran Ibu Pertiwi. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 17 Jan: Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena lawatan rasmi Baginda ke Kuching hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), majlis tersebut turut dihadiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Advertisement

Semasa Majlis Jamuan Teh itu, Tengku Hassanal disajikan dengan pelbagai juadah serta dihiburkan dengan persembahan menarik daripada penyanyi tempatan.

Usai majlis tersebut, Baginda berkenan berjalan merentasi Jambatan Darul Hana sekitar jam 6.10 petang untuk menikmati pemandangan matahari terbenam sebelum berangkat pulang ke hotel kediaman.

Terdahulu, Baginda berkenan melawat Kubu Margherita dan bersiar-siar di sekitar kawasan Dataran Ibu Pertiwi sebelum bergerak ke Tea House.

Semasa lawatan, Baginda berkesempatan mendengar taklimat mengenai sejarah Muzium Brooke yang diberikan oleh Ketua Muzium dan Pendidikan, Salliza Sideni.

Dalam pada itu, Baginda turut merakamkan gambar kenangan bersama dif-dif kehormat di hadapan Kubu Margherita dan Dataran Ibu Pertiwi.

Suasana dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakyat jelata yang berpusu-pusu untuk merakamkan gambar kenangan bersama Tengku Hassanal.

Baginda yang terkenal dengan sikap rendah hati dan berjiwa rakyat dilihat tidak kekok untuk beramah mesra sambil melayani permintaan rakyat jelata yang teruja bergambar bersama. — DayakDaily

Advertisement