Temui ajal ketika mengait kelapa di Kg Pujut Padang Kerbau

Lokasi kejadian dimana seorang lelaki warga tempatan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 30 Sept: Seorang lelaki warga tempatan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik, ketika mengait buah kelapa di satu kawasan kebun di Kampung Pujut Padang Kerbau, tengahari semalam.

Timblan Ketua Polis Daerah Miri Supt Mohd Sabri Zainol memberitahu, mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring kaku selepas kejadian sekitar jam 12 tengahari.


Pada waktu kejadian, si mati dan dua rakannya sedang mengait kelapa yang mana di kawasan tersebut juga terdapat satu talian bekalan elektrik berkuasa tinggi dengan tiga kabel yang tak bersalut.

Si mati sedang mengait kelapa menggunakan satu galah yang diperbuat dari alloy sepanjang lebih kurang 15 meter.

Disebabkan batang galah alloy yang panjang, tanpa di sedari besar kemungkinan galah yang dipegang si mati telah terkena tiga kabel letrik tersebut dan menyebabkan si mati direnjat oleh arus elektrik yang mengalir melalui galah alloy tersebut.

Jarak antara kabel dan pokok kelapa adalah lebih kurang 10 ke 13 meter.

Si mati merupakan perniaga, dan selalu membeli kelapa dari pekebun di kawasan tersebut secara borong dan seterusnya mengait sendiri kelapa untuk dipasarkan di kawasan bandar Miri.

Si mati dikatakan meninggal di tempat kejadian dan rakan yang berdekatan dengannya pengsan dan tidak sedarkan diri.

Kes disiasat sebagai mati mengejut. — DayakDaily