Temui ajal di pasar sayur

Hands holding a lighted candle. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

MATANG, Mac 26: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia menemui ajal ketika sedang membeli sayur di E-Mart di sini hari ini.

Mangsa, Haroni Suai, 61, dilaporkan meninggal dunia di pasar sayur itu selepas tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri.

Kematian mangsa disahkan oleh petugas perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang tiba di lokasi kejadian.

Advertisement

Menurut sumber, sebelum itu, mangsa yang menetap di Kampung Telaga Air di sini dikatakan pergi ke pasar sayur tersebut seorang diri.

Katanya, ketika berjalan menuju ke pasar sayur, pergerakan mangsa dikatakan tidak stabil sebelum dia tiba-tiba terjatuh lalu tidak sedarkan diri.

“Orang awam yang kebetulan berada di lokasi insiden kemudian menghubungi pihak hospital berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Usaha awal orang awam membantu mangsa juga gagal sebelum dia disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Aidil Bolhassan mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

“Tetapi berdasarkan keterangan anak mangsa, bapanya ada menghidap penyakit darah tinggi, gout dan sesak nafas.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement