Tempoh tahanan reman ke atas suspek rogol dilanjutkan 7 hari

Violence against women and children. — DayakDaily.com file pic. // Photo: PIxabay

MIRI, Jun 26: Tempoh perintah reman ke atas seorang lelaki warga emas yang merogol seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula semalam.

Tempoh tahanan reman sehingga Julai 1 depan itu dilanjutkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Steve Ritikos telah meluluskan tempoh tahanan reman ke atas suspek berusia 57 tahun itu bagi membolehkan kertas siasatan disiapkan.


Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selepas permohonan lanjut reman itu dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Wira Sumbin.

Mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur, hakim boleh mengeluarkan perintah reman ke atas suspek dan tempoh reman itu tidak boleh lebih daripada tujuh hari bagi permohonan pertama, dan tidak lebih tujuh hari lagi bagi permohonan kedua.

Berdasarkan fakta kes, pada Jun 16 lalu, ibu kepada mangsa yang berusia lapan tahun telah membuat laporan polis terhadap suspek dan mendakwa suspek telah merogol anaknya.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis telah menahan suspek di Kampung Muhibah Ladang 3, Subis untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keksaan kerana merogol.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. — DayakDaily