10 beranak cemas, rumah didiami terbakar

Kelihatan keadaan rumah yang terjejas akibat kebakaran.

SARATOK, Jun 26: Seramai 10 penghuni di sebuah rumah di Kampung Tanjung Saratok di sini cemas apabila kediaman mereka terbakar hari ini.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu tidak melibatkan sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Nazary Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 3.56 petang.

Jelasnya, sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan 10 anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam telah bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar bahagian atas di rumah dua tingkat di situ.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua 10 penghuni kediaman berkenaan sudah keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Nazary menambah, tindakan pantas anggota bomba membuat pemadaman telah berjaya menghalang kemerebakan api ke tingkat bawah serta rumah-rumah yang berdekatan.

Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.22 petang.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat pada pukul 5.08 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily