Tempat Transit Gelandangan selamatkan ibu bersama 3 anak dari hutan Sibu Jaya — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Nov: Seramai 97 gelandangan telah diselamat, dipulih dan dikembalikan kepada keluarga melalui Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu yang beroperasi sejak Februari 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha ini telah menampakkan kesan positif dari segi jumlah gelandangan yang berkurangan di bandar Sibu.

Advertisement

“Terdapat kes seorang ibu dan tiga orang anak yang diselamatkan dari hutan di Sibu Jaya.

“Hasil intervensi dan rujukan oleh pihak TTG Sibu, anak perempuan beliau berusia 12 tahun yang tidak pernah ke sekolah telah memulakan persekolahan di pusat pembelajaran alternatif yang disediakan oleh Pertubuhan Destiny for Children di bandar Sibu,” katanya.

Fatimah berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian premis untuk TTG Kuching dan Miri akan siap pada Mei 2024, manakala pembinaan TTG yang juga Community Social Support Centre (CSSC) Bintulu pula dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025.

Dalam ucapan yang sama, Fatimah berkata jumlah kes kehamilan dalam kalangan remaja di Sarawak menunjukkan penurunan.

Katanya, pada 2016, jumlah kes yang direkodkan ialah sebanyak 2,481 kes berbanding 1,760 sehingga Oktober 2023.

Menurut beliau, One-Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) telah memainkan peranan penting terhadap pengurangan jumlah tersebut.

“Ia hasil pelaksanaan 66 program intervensi sosial seperti kesedaran dan advokasi pendidikan awal seksual di sekolah dan masyarakat sejak 2016,” kata Fatimah. — DayakDaily

Advertisement