Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak diteruskan pada 2024, sasar 600 penerima baharu

Fatimah memberi ucapan penggulungan kementerian di Persidangan DUN hari ini (28 Nov 2023). Foto menunjukkan siaran langsung di bilik media Kompleks DUN.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Nov: Kerajaan meneruskan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) pada tahun 2024 dengan peruntukan berjumlah RM300,000.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini bakal memberi manfaat kepada 600 penerima baharu.


“Para usahawan yang menerima bantuan turut akan dibimbing melalui program pembangunan usahawan pada tahun 2024.

“Ia bagi mencapai hasil utama sektor khidmat sosial (PCDS 2030) iaitu mengeluarkan isi rumah berpendapatan rendah daripada kemiskinan dengan menjana purata pendapatan sebulan pada RM2,150 hingga RM3,750 menjelang 2030,” katanya.

Fatimah berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN hari ini.

Pada tahun 2023, tambah Fatimah, seramai 628 usahawan layak mendapat Bantuan KIRWaS.

Katanya, pemantauan kemajuan pendapatan usahawan dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas penerimaan bantuan.

“Ia bagi memastikan kejayaan tahun 2022 diteruskan di mana 81 peratus penerima bantuan telah berjaya menjana pendapatan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan,” ujar Fatimah. ā€” DayakDaily