MIRI, 21 Mei: Seorang wanita bertindak meninggalkan teman lelakinya selepas dipercayai mencuri beberapa barangan milik mangsa.
Namun, suspek berusia 32 tahun itu berjaya ditahan pihak polis pada Khamis (20 Mei), susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berhubung kejadian yang melibatkan jumlah kerugian lebih RM1,000.
Suspek ditahan pada Khamis sekitar jam 3.30 petang di tepi jalan kawasan menunggu di Lapangan Terbang Miri oleh sepasukan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.
Kejadian dilaporkan telah berlaku pada Syawal pertama dan kedua yang lalu, apabila suspek, seorang ibu tunggal, bertindak mengambil beberapa barangan milik teman lelakinya itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu rakannya.
Antara barangan yang dilaporkan hilang semasa kejadian ialah seutas jam tangan jenama Rado, sebuah telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM265.
Selepas menyedari kehilangan beberapa barangan tersebut, mangsa, berusia 56 tahun telah segera melaporkam kejadian ke Balai Polis.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Sabri Zainol, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily