Laki ‘spiderman’ ditahan polis kurang 24 jam selepas memanjat dinding sebuah rumah

Suspek (tiga dari kanan) ditahan anggota JSJ Miri di tepi Jalan Pujut Corner semalam.

MIRI, 21 Mei: Kurang 24 jam selepas kelibat seorang lelaki kelihatan memanjat dinding sebuah rumah di Pujut 7B seperti labah-labah, dia dicekup polis untuk tindakan lanjut.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada tengahari Khamis (20 Mei) di tepi Jalan Pujut Corner sekitar jam 2.50 petang.

Difahamkan, kejadian suspek ligat memanjat dinding rumah tersebut seperti seekor labah-labah, berjaya dirakam dan telah menjadi tular di media sosial.


Turut dirampas sebuah motorsikal jenis Modenas Kriss, dipercayai telh digunakan semasa kejadian.

Dalam kejadian, sekitar jam 1.20 petang pada Rabu itu, suspek dilihat memanjat masuk ke sebuah rumah dan sempat melarikan diri membawa satu karung guni.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol ketika dihubungi mengesahkan tangkapan. — DayakDaily