Oleh Dean Adam
KUCHING, Okt 12: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya meneliti dasar pemilikan rumah dalam usaha membolehkan lebih ramai penjawat awam yang berpendapatan sederhana dan ke bawah dapat memiliki rumah sendiri.
Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda berkata pelbagai caj yang dikenakan amat menyukarkan para penjawat awam untuk memiliki rumah sendiri disebabkan komitmen bulanan yang tinggi.
Jelas beliau, harga rumah kini semakin mahal kerana jika dijual pada harga dalam lingkungan RM250,000 sudah pasti pinjaman kewangan untuk perumahan tidak diluluskan.
“Ini adalah kerana kadar bayaran bulanan menjadi tinggi dan ia pasti menyukarkan proses pinjaman perumahan untuk kumpulan terbabit.
“Sehubungan itu, dasar pemilikan rumah ini perlu diperhalusi dengan adanya campur tangan kerajaan dalam penentuan harga rumah sekali gus tidak berlakunya manipulasi harga oleh pihak tertentu,” katanya selepas Taklimat Isu Dalam Perkhidmatan Awam di sini.
Sementara itu, Azih memberitahu, CUEPACS mahu kerajaan menyediakan peruntukan tambahan bagi membaiki kuaters kakitangan awam yang usang dalam Bajet 2019 kelak.
Katanya, peruntukan tambahan tersebut amat perlu diberi perhatian memandangkan sebahagian besar kuaters kerajaan di negara kini didapati sudah tidak lagi sesuai didiami disebabkan pelbagai masalah dihadapi penghuninya.
“Keadaan kuarters yang usang boleh mengundang pelbagai masalah kepada penjawat awam sedangkan elaun perumahan dan sebahagian daripada elaun sara hidup (COLA) mereka sudah dipotong.
“Jadi, kita berharap kerajaan meneliti masalah berkenaan dengan memberi peruntukan tambahan dalam pembentangan Bajet 2019 November depan sebagai mengatasi masalah ini,” katanya. — DayakDaily