Tekun lancar Skim Pembiayaan Informal

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Advertisement

KUCHING, 21 Dis: Tekun Nasional telah melancarkan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dengan peruntukkan RM50 juta dalam usaha membantu usahawan sektor informal yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pelaksanaan SPIN dijangka dapat memanfaatkan seramai 10,000 usahawan sektor tersebut.

”Golongan usahawan informal inilah yang amat terkesan dengan situasi Covid-19 kerana kebanyakannya bergantung kepada gaji harian dan tidak mempunyai simpanan wang yang banyak untuk bertahan atau modal untuk beralih ke perniagaan baharu.

Advertisement

“Dengan adanya kemudahan seperti SPIN, akan dapat membantu usahawan sektor informal yang kurang mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

“Saya berharap dengan pelaksanaan inisiatif ini tiada usahawan yang tercicir di dalam pelan pemulihan usahawan oleh kerajaan terutama usahawan kawasan pedalaman,” kata Wan Junaidi pada majlis pelancaran skim tersebut di Putrajaya hari ini.

Sektor informal merupakan pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau mana-mana badan profesional, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, nilai pembiayaan SPIN adalah dari RM1,000 sehingga RM5,000 dan tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga tiga tahun dengan kadar keuntungan yang dikenakan adalah empat peratus setahun.

Katanya, inisiatif ini diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk membangunkan kapasiti dan daya saing usahawan mikro.

“Melalui bantuan SPIN, anjakan status perniagaan sektor informal ke perniagaan berstatus mikro dan seterusnya kepada kategori yang lebih tinggi akan dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Sempena Majlis Pelancaran SPIN, Tekun Nasional turut meraikan lima orang penerima terakhir Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) yang masing-masing menerima pembiayaan bernilai RM10,000. — DayakDaily

Advertisement