Medac memperuntukkan RM1.85 bln kepada 176,356 usahawan wanita sepanjang 2014-2020

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 21 DIS: Sejumlah RM1.85 bilion dana kewangan telah disalurkan kepada 176,356 usahawan wanita sepanjang 2014 sehingga 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia disalurkan melalui pelbagai program bantuan pembiayaan oleh kementerian itu menerusi agensi-agensi dibawahnya.

“Bank Rakyat telah meluluskan pembiayaan kepada 14,397 usahawan wanita dengan jumlah terkumpul kelulusan sebanyak RM225.22 juta daripada tahun 2014 sehingga 2020.


“Manakala Tekun telah menyalurkan sejumlah RM1.62 bilion kepada 161,522 usahawan wanita di seluruh negara,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Waytha Moorthy A/L Ponnusamy pada Mesyuarat Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Waytha bertanya berhubung perincian penyertaan wanita dalam perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar serta jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada wanita-wanita ini mengikut kaum dari tahun 2014-2020.

Daripada 14,937 usahawan wanita, Wan Junaidi memaklumkan bahawa 13,911 merupakan usahawan Bumiputera dengan kelulusan bantuan berjumlah RM211,362,313.

Manakala usahawan Cina adalah seramai 144 orang dengan jumlah bantuan RM8,773,500 dan usahawan dari kalangan kaum India adalah seramai 237 orang dengan bantuan RM3,414,300.

Sejumlah RM1,672,000 pula diperuntukkan kepada 105 usahawan wanita dari kalangan lain-lain kaum, ujar Wan Junaidi. — DayakDaily