Tekong seludup PATI,  kenakan tambang RM500 ‘sekepala’

Suspek bersama PATI ditangkap dalam operasi tersebut.

SERIAN, 6 Mac: Kerana upah lumayan menyebabkan seorang lelaki tempatan sanggup merisikokan dirinya menjadi ‘tekong darat’ dengan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata perkara tersebut didedahkan oleh suspek berusia 38 tahun itu selepas ditangkap dalam satu operasi di Bunan Gega, di sini pada Khamis.

Suspek semasa ditahan didapati cuba menyeludup empat lelaki warga Indonesia yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil soal siasat mendapati suspek (tekong) meminta RM500 seorang daripada PATI terbabit untuk dihantar ke lokasi yang dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bercakap mengenai modus operandi pula mendapati suspek akan berhubung dengan wakilnya di Indonesia untuk mengatur pergerakan PATI.

“Mereka akan menentukan masa dan tempat untuk mengambil PATI untuk dibawa masuk.

“PATI akan bergerak awal dan menunggu di lokasi yang dijanjikan dan seterusnya dijemput tekong dan kemudian akan dihantar,” katanya.

Suspek semasa ditahan dalam operasi tersebut membawa empat PATI yang dijemput dari sebuah ladang sawit berdekatan menggunakan sebuah kereta.

Kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imgresen dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. — DayakDaily