Tebingan Sungai Batu Kawa dan Siniawan tarikan baharu pelancongan di Kuching

Abang Johari (empat dari kanan) menekan butang sebagai simbolik pelancaran Pelancaran Projek Rakyat-Tebingan Sungai Pekan Batu Kawa.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 25: Aktiviti tarikan pelancong di sepanjang Sungai Sarawak bakal dirancakkan dengan terbinanya Tebingan Sungai Batu Kawa dan Siniawan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kedua-dua tebingan sungai tersebut akan melengkapkan Tebingan Sungai Kuching yang telah dibina dengan indahnya di pusat bandar.

“Batu Kawa adalah pekan asal yang memiliki banyak sejarah dan sudah tentu kita ingin menaiktarafkan pekan ini.

“Kita rancang untuk bina tebingan sungai dan ia akan menjadi tempat persinggahan para pelancong yang menggunakan perahu dari Kuching.

“Pelancong akan terus ke hulu sungai, iaitu ke Pekan Siniawan yang saya juga telah luluskan pembinaan tebingan sungai di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Projek Rakyat-Tebingan Sungai Pekan Batu Kawa di Dewan Persatuan Chung Hua Batu Kawa di sini hari ini.

Rekabentuk Tebingan Sungai Batu Kawa yang dikelilingi kawasan tanah lembap.

Menceritakan sejarah dahulu, Abang Johari berkata Pekan Batu Kawa dan Siniawan merupakan tempat pedagang dari negara China memulakan aktiviti perdagangan dengan membina rumah-rumah kedai.

Katanya, kedua-dua pekan tersebut adalah warisan lama dan dengan itu kerajaan negeri melancarkan projek Tebingan Sungai Batu Kawa yang bernilai RM10 juta.

Di samping itu, tambah beliau, fasa kedua projek Tebingan Sungai Batu Kawa akan melibatkan kerja mencantikkan dan mengekalkan kawasan tanah lembap.

“Ini adalah kerana di situ ada tumbuhan yang boleh menjadi khazanah yang boleh dipelajari generasi muda.

“Ianya juga akan menjadi sebahagian kawasan tarikan pelancong di sini dan kita akan melaksanakan fasa kedua ini,” katanya.

Abang Johari (lima dari kiri) menyampaikan ‘replika cek’ sebanyak RM300,000 kepada wakil SJKC Chung Hua Stapok.

Justeru tambah Abang Johari, para pelancong yang suka pada keindahan alam semulajadi boleh menaiki perahu dari Tebingan Sungai Kuching ke Batu Kawa dan seterusnya ke Pekan Siniawan.

Dalam perjalanan menyusuri sungai, mereka akan melalui Jambatan Gantung sepanjang 213 meter di Satok yang bakal siap pada bulan September 2019, tambah beliau.

Jambatan pejalan kaki yang dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke itu pernah menjadi ikon bandaraya Kuching sebelum ditutup kepada laluan orang ramai pada 1992.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan ‘cek replika’ bernilai RM300,000 kepada SJKC Chung Hua Stapok.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Huan. — DayakDaily