Tanpa ‘tongkat’, GPS boleh bangunkan Sarawak, kata Abang Johari

Abang Johari (empat dari kiri) menyerahkan sijil perlantikan sebagai presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak yang baharu kepada Wee, sambil disaksikan oleh para jemputan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 9: Kerajaan negeri akan membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan dari Putrajaya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh melakukannya walaupun sebelum ini dengan bantuan Barisan Nasional (BN).


“Kita akan membangunkan Sarawak sendirian, dan kita memiliki sumber-sumber kekayaan.

“Apa yang kita tiada hanyalah kepakaran sumber manusia. Jika kita memiliki kepakaran dan tahu semua hak-hak negeri, saya rasa kita akan menjadi lebih baik dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Makan Malam Persekutuan Persatuan Cina Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah Abang Johari, membangunkan Sarawak bersendirian adalah hala tuju GPS pada masa ini dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan.

“Dalam tempoh 56 tahun yang lepas, kita ada tongkat BN, kita ada tongkat Putrajaya.

“Sekarang kita akan melakukannya tanpa tongkat BN, kita dengan acuan sendiri dengan polisi yang akan menjamin masa depan yang cerah,” ujar beliau.

Di majlis yang sama, Abang Johari memberi jaminan akan terus membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini.

Katanya, geran bantuan tetap akan diteruskan seperti tahun-tahun yang lalu.

“Kerajaan akan terus memberi geran untuk membina sekolah baharu dan juga untuk menyediakan tapak sekolah yang baharu.

“Jika dahulu, iaitu SJKC di Muara Tebas saya berjanji untuk memberi RM1 untuk RM1 yang dikumpul, ianya akan diteruskan.

“Pada masa itu mereka berjaya mengumpul RM3 juta, saya pun membalas dengan memberi RM3 juta juga dan itu tidak termasuk RM8 juta yang telah kita berikan terdahulu untuk SJKC di negeri ini,” katanya.

Majlis juga diadakan sempena perlantikan jawatankuasa persekutuan yang baharu untuk tempoh tiga tahun di mana Datuk Richard Wee telah dilantik sebagai presiden.

Turut Hadir Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Huan. — DayakDaily