Oleh Dean Adam
KAPIT, Mei 12: Sebuah tangki penyimpanan minyak diesel di Jalan Beletik dekat sini terbakar petang tadi.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.12 petang.
Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Kapit bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tangki berkapasiti 3,000 liter akibat dari kerja-kerja pemotongan pada tangki tersebut oleh pekerja kontraktor.
“Kebakaran dipercayai berlaku apabila masih terdapat saki baki minyak pada tangki tersebut sewaktu kerja pemotongan dilakukan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, siasatan awal mendapati kegunaan tangki tersebut adalah untuk menyimpan minyak diesel bagi kegunaan lori milik sebuah syarikat di sini.
Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan salur bantu mula pada jentera sehingga padam sepenuhnya.
“Setelah kerja-kerja pemadaman selesai, operasi ditamatkan pada pukul 3.32 petang,” katanya. — DayakDaily