Tangani kegiatan eksploitasi PR1MA – MUDA Sarawak

Jeffery Ngui

KUCHING, 18 Nov: Parti MUDA Sarawak menggesa pihak kementerian dan PR1MA perlu memberikan kejelasan dalam proses permohonan.

Pengerusinya Jeffery Ngui berkata, ia bagi memastikan bahawa unit-unit PR1MA benar-benar diduduki oleh golongan yang memerlukan dan layak.

“Ini penting untuk memastikan objektif asal inisiatif PR1MA dapat tercapai dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam sebuah video yang tular di media sosial tambah Jeffery, pemilik Residensi PR1MA seharusnya mematuhi perjanjian yang melarang penjualan unit dalam masa lima tahun dan juga larangan penyewaan unit kepada pihak lain.

Katanya, tujuan PR1MA adalah untuk diduduki oleh pemilik dan ahli keluarga sahaja tanpa bayaran sewa.

Tambah Jeffery, isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk setempat melalui media sosial menunjukkan bahawa terdapat ketidakjelasan dalam proses permohonan.

Banyak unit yang telah dibeli oleh pelabur dan dijadikan homestay untuk disewa, yang kemudiannya diiklankan dalam platform perdagangan.

“Ada juga laporan bahawa unit-unit tersebut dijual pada harga yang jauh lebih mahal daripada harga asal.

“Saya berharap tindakan segera diambil untuk menangani isu ini dan memberikan keadilan kepada penduduk setempat yang masih menaruh harapan untuk memiliki rumah mampu milik di bawah program PR1MA,” ujar Jeffery. — DayakDaily