MUDA Sarawak gesa kerajaan bangunkan Sistem Rel Trans-Borneo

Jeffery Ngui

KUCHING, 13 Nov: Pengerusi Parti MUDA Sarawak Jeffery Ngui menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Sabah memberi sokongan kepada usaha membangunkan Sistem Rel Trans-Borneo.

Katanya, ia berpotensi untuk mencetus perubahan besar dan revolusi yang bakal memberikan manfaat ekonomi dan pembangunan kepada penduduk di Borneo.

“Bagi merealisasikan visi ini, saya mengajak semua pihak terutamanya daripada pelbagai latar belakang politik untuk memberikan sokongan penuh dan cadangan yang konstruktif demi masa depan pengangkutan yang lebih baik di rantau Borneo,” katanya dalam satu kenyataan.


Tambah Jeffery, kerjasama dan wawasan bersama yang kukuh boleh mewujudkan sistem pengangkutan yang inovatif.

Katanya, ia seterusnya memberi impak positif kepada seluruh komuniti Borneo.

Menurut beliau, keperluan sistem pengangkutan baru di rantau Borneo kini semakin mendesak bagi mewujudkan alternatif yang lebih efisien berbanding penerbangan, bas, dan bot ekspres. — DayakDaily