MUDA Sarawak gesa pihak berkuasa tempatan bantu pengusaha bazar Ramadan

Jeffery Ngui

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 28 Feb: Pengerusi Parti MUDA Sarawak Jeffery Ngui menggesa pihak berkuasa tempatan membantu pengusaha bazar Ramadan.

Beliau mengutarakan kebimbangan mengenai beban yang bakal ditanggung oleh peniaga-peniaga tempatan.


“Memang diakui bahawa kos sewa tapak, pembelian barangan, operasi harian, dan penyediaan gerai dijangkakan meningkat secara mendadak pada tahun ini.

“Ia seterusnya memberikan impak serta tekanan tambahan kepada peniaga-peniaga khususnya dari golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Ngui, pihak majlis perbandaran yang memainkan peranan penting sebagai penganjur bazar Ramadan perlu membantu bagi meringankan beban ini.

Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa mneyediakan tapak percuma dan pengecualian caj permit; memberi subsidi jualan untuk produk tempatan, subsidi peralatan dan khemah; dan mengadakan kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan bagi membantu meningkatkan penjualan peniaga. — DayakDaily