Tanah Susur di Kampung Bukit Kota ‘timbus’ Perodua Alza

Keadaan bahagian tayar Perodua Alza yang ditimbus tanah susur.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


LIMBANG, Okt 4: Sebuah keluarga di Kampung Bukit Kota di sini cemas apabila sebuah kenderaan milik mereka ditimpa tanah susur, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu mengakibatkan sebuah Perodua Alza tertimbus di bahagian tayarnya dan sukar untuk bergerak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Mohd Ali Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.10 pagi.


Pasukan bomba membantu mengalihkan tanah susur.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Perodua Alza tertimbus di bahagian tayarnya dan tidak dapat dialihkan.

“Anggota bomba kemudian menggunakan cangkul dan peralatan lain untuk mengalihkan tanah susur itu sehingga kenderaan berkenaan dialihkan,” katanya di sini hari ini.

Mohd Ali menambah, pasukan bomba seterusnya membuat pemantauan di kawasan tanah susur bagi memastikan ia dalam keadaan selamat.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.10 pagi,” katanya.— DayakDaily