KUCHING, 2 Mac: Sebuah keluarga di Kampung Sumur Bunuk, Padawan dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu kerana rumah mereka terjejas akibat tanah runtuh.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kejadian tanah runtuh tersebut pada jam 2.20 petang semalam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan terus dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Didapati benar berlaku tanah runtuh yang telah menyebabkan kerosakan di bahagian ruang tamu dan dapur sebuah rumah.
“Pihak Bomba membuat penilaian risiko dan didapati rumah tersebut tidak selamat untuk diduduki.
“Penghuni rumah telah dinasihatkan untuk berpindah dan tinggal di rumah saudara mereka buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. — DayakDaily