Seorang maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Saratok

Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan.

SARATOK, 2 Mac: Seorang maut, manakala enam lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Simpang Roban, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 7.23 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi laporan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan jenis Perodua Bezza, Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux.

“Terdapat seorang mangsa di dalam Perodua Bezza dan pasukan bertindak mengeluarkan mangsa.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pasukan perubatan dari Hospital Saratok,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

Setelah keadaan terkawal dan selamat, pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai. — DayakDaily