Oleh Dean Adam
KAPIT, Dis 10: Penduduk rumah panjang berdepan risiko bahaya susulan kejadian tanah runtuh di kawasan rumah mereka di Rh Barnabas, Sungai Serian dekat sini hari ini.
Kejadian tersebut juga mengakibatkan berlakunya keretakan akibat insiden tanah runtuh kira-kira pukul 9.25 pagi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.30 pagi.
Jelasnya, sekumpulan empat anggota APM Kapit kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi pemantauan insiden berkenaan.
“Apabila tiba, anggota APM mendapati terdapat insiden tanah runtuh di kawasan rumah panjang berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada penghuni yang cedera akibat kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kejadian sama mungkin berulang sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.
Katanya, anggota APM kemudian membantu memasang kanvas di tempat runtuhan tersebut bagi mengelak insiden sama berulang.
“Pasukan APM kemudian menasihat penghuni rumah panjang supaya sentiasa berwaspada dengan segala kemungkinan berlaku,” ujarnya. — DayakDaily