Taman Heritage di Petra Jaya dibangunkan sebagai Taman Pembelajaran dengan kos RM2 juta

Dr Abdul Rahman (dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara DBKU dan Unimas Holdings Sdn Bhd. Turut kelihatan Mohamed Khaidir (kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Feb: Taman Heritage di Petra Jaya akan dibangunkan sebagai Taman Pembelajaran dengan kos RM2 juta.

Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamed Khaidir Abang berkata, ia dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) di antara DBKU dan Unimas Holdings Sdn Bhd.


“Kawasan lapang ini telah diwartakan dalam Sarawak LG 25 bertarikh 26 Januari 2021 sebagai kawasan lapang.

“Dengan adanya Taman Pembelajaran ini nanti diharap agar dapat menggalakkan komuniti untuk terlibat dengan konsep ‘Fun Learn’,” katanya kepada media di Majlis Menandatangani MoU di Old Court House di sini.

Tambah Mohamed Khaidir, MoU juga merupakan inisiatif DBKU dalam pelan tindakan ‘Clean, Beautiful, Safe, Smart & Sustainable’ (CBSSS) untuk menaiktaraf kawasan lapang sebagai kawasan rekreasi dan riadah.

MoU ditandatangani Mohamed Khaidir dan Pengurus Besar Unimas Holdings Sdn Bhd Dr Abang Ekhsan Abang Othman.

Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengerusi Interim, Unimas Holdings Sdn Bhd Datu Mohd Fadzil Abd Rahman. — DayakDaily