Mesin Glutton Litter Picker lakukan kerja pembersihan di Tebingan Kuching

Dr Abdul Rahman (dua dari kiri) menyaksikan demonstrasi Mesin Glutton Litter Picker.

KUCHING, 21 Feb: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini menerima Mesin Glutton Litter Picker yang dicipta sebuah syarikat tempatan di sini.

Majlis penyerahan mesin pembersih vakum elektrik yang diadakan di Godown Amphitheater di Tebingan Kuching itu telah disaksikan Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Dr Abdul Rahman dalam ucapannya yakin Mesin Glutton Litter Picker mampu melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sepanjang Tebingan Kuching.


“Fokus kita ialah memastikan Tebingan Kuching sentiasa bersih.

“Keindahannya kita jaga dan ia juga mencerminkan kebersihan Bandaraya Kuching dan penduduknya secara keseluruhan,” katanya.

Glutton Litter Picker merupakan vakum pembersih jalan yang menggunakan janaan bateri sepenuhnya.

Ianya berfungsi dengan menyedut sampah seperti daun-daun kering, puntung rokok, botol, dan tin aluminium yang berada di atas permukaan jalan ataupun tanah.

“Mesin ini mampu menggantikan tiga ke lima orang pekerja yang menggunakan kaedah manual.

“Ianya boleh menjimatkan kos operasi dan mempercepatkan proses pembersihan dalam jangka masa panjang,” ujar Dr Abdul Rahman. — DayakDaily