Talian Helpline Kebajikan dilancarkan

Fatimah (tiga dari kiri) melancarkan Helpline Kebajikan 082-514141 dibawah JKMNS.
Advertisement

KUCHING, Jan 21: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak telah melancarkan talian Helpline Kebajikan 082-514141 bagi orang ramai Sarawak mendapatkan perkhidmatan kebajikan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), di sini, semalam.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah telah melancarkan talian 24 jam tersebut yang juga membolehkan orang ramai membuat pelbagai pertanyaan dan aduan serta menyampaikan maklumat berkaitan kebajikan.

Ini merangkumi skim bantuan kebajikan, kemiskinan, orang papa atau gelandangan, keganasan rumah tangga, pengabaian, penderaan, masalah juvana atau kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), kaunseling dan juga bencana alam kepada JKMNS.

Advertisement

Majlis pelancaran talian itu juga telah dihadiri Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Holis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Dr Saadiah Abdul Samat dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) Noriah Ahmad.

Fatimah (barisan depan, enam dari kanan) bersama kakitangan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak dan kakitangan JKMNS yang menghadiri majlis pelancaran Helpline Kebajikan 082-514141 dibawah JKMNS.

Fatimah berkata talian Helpline Kebajikan tersebut perlu diwujudkan dibawah JKMNS berikutan kalangan pegawai dan juga menteri di kementerian terbabit dan JWKS telah banyak menerima panggilan orang ramai yang berkaitan bantuan kebajikan.

Ini selepas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan talian Helpline 082-448866 JWKS bagi membantu golongan wanita di negeri ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November tahun lepas.

“Dalam rekod kita juga, tidak kurang dari seramai 58,000 penerima bantuan kebajikan bulanan (di negeri ini) dan ini bukan satu angka yang kecil, namun kita terus menerima panggilan telefon, melihat di laman Facebook dan WhatsApp orang yang perlukan bantuan kebajikan,”katanya.

Sehubungan itu, pihaknya merasakan JKMNS juga perlu mempunyai talian helpline seperti JWKS bagi menambahbaik lagi perkhidmatan kebajikan kepada orang ramai di negeri ini samada di bandar, luar bandar mahupun di pedalaman.

Beliau juga berharap melalui talian itu orang ramai akan mendapat maklumbalas yang segera dari JKMNS mengenai sebarang aduan atau pertanyaan mereka dan bukannya terpaksa menunggu sehingga dua atau tiga hari.

“Semuanya mesti diuruskan segera. Orang datang kepada kita kerana mereka memerlukan bantuan kita dan tidak boleh menganggapnya sebagai urusan biasa, jadi mesti ada elemen kesegeraan,” katanya.

Fatimah berkata sekira JKMNS sentiasa menganggap setiap kes diterimanya perlu disegerakan dan ditangani dengan pantas, beliau yakin jabatan dan kementerian itu akan dapat mempengaruhi rakan strategik mereka bagi mendapatkan kerjasama.

Katanya kerjasama rakan strategik penting kerana JKMNS tidak mempunyai cukup kakitangan, ditambah lagi negeri ini yang luas dan perhubungan adalah satu cabaran kepada mereka. — DayakDaily

Advertisement