SERIAN, Feb 9: Taktik seorang lelaki tempatan menyeludup masuk tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) mengggunakan laluan tikus berjaya dipatahkan oleh anggota tentera di Ladang Sawit Tetangga Akrab, Mongkos di sini semalam.
Suspek bersama tujuh warga asing itu dicekup oleh Kumpulan Ronda Berkenderaan dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada pukul 11.59 pagi.
Jurucakap Batilion Ke-11, RAMD berkata, mereka ditahan ketika sedang menyusup masuk ke negeri ini menerusi lorong tikus itu dengan menaiki motosikal.
Menurutnya, sebelum itu, kesemua mereka dikesan anggota tentera yang bertugas di sekitar kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, Indonesia di sini.
“Pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berusia antara 18 hingga 30 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Beruang, Indonesia.
“Manakala seorang lagi lelaki bersama kumpulan warga Indonesia itu didapati rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap sama menambah, siasatan lanjut mendapati mereka masuk ke negara ini untuk bekerja di Kampung Tong Nibong di sini.
Jelasnya, anggota tentera telah merampas empat buah motosikal tanpa nombor pendaftaran, satu tong gas dan tiga beg pakaian daripada suspek.
“Ketujuh-tujuh warga asing itu bersama lelaki tempatan berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily