Tak sempat seludup keluar 68 tong gas memasak, dua lelaki Indonesia ditahan

Advertisement

Oleh Dean Adam

SERIAN, Jun 11: Cubaan dua lelaki warga Indonesia menyeludup keluar 68 tong gas memasak ke Kalimantan Barat dengan sikit berjaya dipatahkan oleh pasukan tentera di Tebedu di sini.

Kedua suspek yang masing-masing berusia 34 dan 31 tahun itu diberkas oleh pasukan tentera dari Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD) kira-kira pukul 7.45 pagi.

Advertisement

Jurucakap RRD berkata, sebelum tangkapan itu dilakukan, pasukan tentera yang melakukan operasi rutin telah terserempak dengan pergerakan tiga buah van di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat.

Jelasnya, semasa itu pasukan tentera melihat kelibat beberapa individu memunggah tong-tong gas masuk ke dalam tiga van.

“Selepas menyedari kehadiran anggota tentera, dua van telah memecut masuk ke kawasan sempadan Kalimantan Barat, Indonesia.

“Manakala, dua suspek terbabit berjaya ditahan selepas mereka tidak sempat melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan 68 tong yang disita dianggarkan sebanyak RM37,000,” katanya. — DayakDaily

Advertisement