Tadika Kemas Kpg Nyabor, Kabong terbakar

Keadaan bangunan tadika tersebut selepas kebakaran.

KABONG, 14 Feb: Sebuah Tadika Kemas di Kampung Nyabor, di sini dilaporkan terbakar awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.38 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan api sedang marak ketika jentera pertama tiba dan pasukan bomba menggunakan pam angkut, dua aliran, tiga nozel serta menggunakan sumber air dari Sungai Nyabor untuk memadam kebaran tersebut.


“Pasukan bomba membuat pemadaman dengan teknik ‘offensive firefighting’ dan ‘defensive’ untuk mengawal kebakaran dari merebak ke ruangan sekolah tadika bersebelahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.45 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.04 pagi.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Kebakaran Bomba Sarawak. ― DayakDaily