
Oleh Chris Bishop
KUCHING, JAN 1: Pengiktifaran penarafan kredit A- oleh S&P Global menunjukkan pengurusan kewangan negeri Sarawak adalah yang terbaik di Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Katanya, dengan tadbir urus kewangan yang baik, ekonomi Sarawak begitu kukuh dan pada landasan betul untuk mencapai tahap negeri maju pada tahun 2030.
“Ekonomi Sarawak begitu baik dan rating S&P Global memberikan pengiktirafan A-, bermakna Sarawak diuruskan dengan baik.
“Walaupun ada orang(pemimpin) berkata yang kita tidak boleh menguruskan Sarawak kerana dakwaan beliau dalam tempoh tiga tahun kita akan bankrap.
“Tetapi agensi pengiktirafan antarabangsa telah memberikan kita A-, iaitu yang terbaik di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Countdown Fiesta 2020 di Tebingan Kuching malam tadi.
Abang Johari turut berkata, ekonomi Sarawak akan bertambah baik pada tahun 2020 dan pembangunan di kawasan luar bandar menjadi agenda penting kerajaan.
Menurut beliau, usaha membangunkan kawasan luar bandar melibatkan projek pembinaan jalan raya dan jambatan.
“Kita juga sedang di dalam proses melakukan transformasi ekonomi negeri termasuk sektor pertanian yang menggunakan kaedah moden.
“Selain itu, kita akan menaikkan taraf sekolah di luar bandar dimana kerajaan negeri telah mendahulukan pembayaran kepada kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion.
“Kita mahukan sekolah-sekolah daif di luar bandar dibaik pulih dengan segera,” ujar beliau.
Pada majlis yang dihadiri ribuan penduduk Bandaraya Kuching itu, Abang Johari turut melancarkan Program Sayang Sarawakku.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. —DayakDaily.



