Tabung Pendidikan Barbara Mendu Bay bantu pelajar Dayak luar bandar

Sikie (tiga kiri) melancarkan buku Sarakup Indu Dayak Sarawak, Our Journey”. Turut kelihatan Alice (empat kiri).

KUCHING, 29 April: Penubuhan Tabung Pendidikan Barbara Mendu Bay oleh Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) tepat pada masanya, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Usaha menubuhkan tabung pendidikan tersebut menunjukkan kesungguhan SIDS dalam membantu pelajar Dayak di luar bandar,” kata Abang Johari dalam Perasmian Perhimpunan Agung SIDS di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.


Untuk terus maju ke hadapan, Abang Johari menyeru SIDS melihat kepada perspektif dan idea baharu.

Katanya, golongan profesional muda harus bergerak ke hadapan, ke tahap yang lebih tinggi.

“Sarakup harus melakukan melakukan transformasi untuk menghadapi cabaran baharu,” kata Abang Johari.

Dalam pada itu, Sikie dalam ucapannya berkata akan berusaha memohon peruntukan RM500, 000 daripada Abang Johari untuk disalurkan kepada Tabung Pendidikan Barbara Mendu Bay.

Beliau (Sikie) juga memperuntukan sejumlah RM50, 000 untuk tabung tersebut.

Setakat ini, Tabung Pendidikan Barbara Mendu Bay telah mengumpul sebanyak RM150, 000

Ia diperolehi dari peruntukan Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian, sumbangan keluarga Barbara Mendu (RM10, 000) dan sumbangan ahli-ahli SIDS sebanyak RM28, 000.

Di majlis tersebut, Sikie turut melancarkan buku “Sarakup Indu Dayak Sarawak, Our Journey”.

Hadir sama Pengerusi SIDS Alice Jawan. — DayakDaily