Tabika, Taska Perpaduan di Kuching diarah tutup 14 hari

Senarai 43 Tabika Perpaduan and satu Taska Genius Perpaduan yang akan ditutup selama 14 hari.

KUCHING, 29 Okt: Sejumlah 43 Tabika Perpaduan (TP) dan satu Taska Genius Perpaduan (TGP) di Kuching diarahkan tutup selama 14 hari bermula esok hingga 13 Nov depan.

Arahan penutupan itu susulan pengisytiharan Kuching sebagai kawasan Zon Merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 Okt lepas.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menerusi satu kenyataan berkata, penutupan tabika dan taska itu akan melibatkan seramai 830 kanak-kanak dan 92 tenaga pengajar.


Pada masa sama, beliau turut mengingatkan jentera perpaduan di semua Zon Merah supaya mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semalam, daerah Kuching diisytiharkan sebagai kawasan Zon Merah selepas kes positif jangkitan tempatan Covid-19 melepasi angka kumulatif 41 kes.

Kawasan Kampung Haji Baki di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang menjadi kawasan pertama di Sarawak diisytihar sebagai kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dengan pengesanan kes aktif sedang giat dilaksanakan KKM.–DayakDaily