Pemimpin masyarakat perlu fahami agenda, perancangan pembangunan kerajaan

Mawan menerima cenderahati daripada Thomas pada Program Sepakat@Komuniti 2020 Pembudayaan Norma Baharu Putuskan Rantaian Covid-19.

PAKAN, 29 Okt: Penyertaan pemimpin masyarakat dalam program anjuran kerajaan penting agar setiap agenda dan perancangan pembangunan kerajaan yang akan disampaikan kepada penghuni rumah panjang atau kampung di bawah tanggungjawab mereka dapat difahami dengan sebaiknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pemimpin yang faham tujuan agenda terbabit akan dapat memberi gambaran sebenar tentang sesuatu perancangan serta pelaksanaan program berkaitan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di kawasan mereka.

Katanya, selain mendapatkan maklumat berkaitan pembangunan yang dijalankan kerajaan, program terlibat turut menjadi medium dalam merapakan perpaduan dikalangan masyarakat setempat.


“Saya sangat gembira walaupun banyak program yang telah dan akan diadakan oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Penerangan dan Pejabat Daerah berkaitan dengan masalah hadapi kita, tetapi ketua-ketua tidak pernah putus asa dan tidak pernah mengenal penat lelah untuk menyertai dan mendengar dialog,” katanya ketika berucap pada Program Sepakat@Komuniti 2020 Pembudayaan Norma Baharu Putuskan Rantaian Covid-19 di Rumah Andrew Buja, Sungai Rintong, Pedanum disini hari ini.

Mawan bersama ketua masyarakat mengadakan upacara miring.

Beliau berkata, perpaduan turut merangkumi pemikiran memandangkan sebagai ketua sama ada lelaki, wanita atau generasi muda tidak memiliki pandangan sama berkenaan sesuatu perkara atau isu.

Justeru, menerusi program anjuran agensi atau jabatan, kerajaan akan dapat menyalurkan maklumat bermanfaat sekaligus membantu merungkai dan memberikan gambaran sebenar sesuatu perkara yang dipertikaikan oleh pihak terlibat.

Pada majlis sama, Mawan turut menasihati penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan untuk sentiasa memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

“Semua kita mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP)yang ditetapkan kerajaan dalam memerangi wabak ini yang kini memasuki gelombang ketiga.

“Menjadi harapan kita agar anggota masyarakat memahami niat kerajaan memperkenalkan norma baharu. Kita mahu kerjasama penuh diberikan demi kesihatan kita semua,” katanya.—DayakDaily