Syabu lebih 6 kilogram bernilai RM363,000 dirampas di Miri

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo

MIRI, 9 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM363,000 melalui Lapangan Terbang Miri semalam.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata dadah tersebut ditemui dalam satu bungkusan yang diklasifikasikan sebagai barangan rumah dan kadunngannya dibungkus bungkusan teh Cina untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan oleh anggotanya mendapati bungkusan dari Semenanjung Malaysia itu mengandungi kira-kira enam kilogram dadah jenis syabu.


“JKDM Miri merampas sebuah kotak yang dihantar dari Semenanjung Malaysia yang mengandungi enambungkusan teh Cina di sebuah premis syarikat penghantaran barangan.

“Pemeriksaan awal mendapati kandungan bungkusan teh Cina tersebut keras dan curiga dengan keadaan tersebut, pasukan telah bertindak untuk membuka bungkusan teh Cina itu.

“Hasilnya, pasukan telah menjumpai ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu di dalamnya dianggarkan seberat 6.6 kilogram yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM363,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya dadah tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Jika didapati bersalah, individu terlibat boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” tegasnya.

Selain itu, Herman menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily