Kluster Pasai antara lima kluster baharu dilaporkan hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 9 Jan: Kluster Pasai di Daerah Sibu dan Mukah menjadi antara lima cluster baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan sebanyak 581 kluster telah dikesan di negara ini sejak wabak Covid-19 pertama kali dilaporkan pada Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak 325 kluster telah ditamatkan manakala 256 kluster lagi masih aktif.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (291kes), Kluster Beringin (226 kes) dan Kluster Jalan Perindustrian (115 kes),” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 2,451 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 kini mencecah angka 133,559 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 26,185 kes.

Katanya, Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 564 kes (23.0 peratus) diikuti Sabah sebanyak 409 kes (16.7 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 351 kes (14.3 peratus).


“Daripada  564 kes yang dilaporkan di Selangor, sebanyak 342 kes (60.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Sebanyak 327 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (291 kes), Kluster Telok Mas (17 kes), Kluster Tembok Gajah (9  kes), Kluster Damai Pelangi (8 kes), Kluster Pagar Siput (1 kes), dan  Kluster Tembok Choh (1 kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, lima kes kematian akibat wabak Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di seluruh negara meningkat kepada 542 (0.41 peratus) sehingga kini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, tiga kes kematian dilaporkan di Johor manakala masing-masing satu di Selangor dan Putrajaya.

“Kesemua kes kematian akibat Covid- 19 ini iaitu kes kematian 538 hingga kes kematian 541 merupakan warga emas berumur antara 60 hingga 87 tahun.

“Kes-kes ini didapati mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit obstruktif paru-paru kronik (COAD), lymphoma, asma, strok, psoriasis, dan Gastroesophageal Reflux Disease (GERD), masalah jantung, penyakit buah pinggang kronik dan strok,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 1,401 kes sembuh sepenuhnya daripada wabak Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes sembuh daripada wabak itu meningkat kepada 106,832 kes  atau 80.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 177 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily