Susulan kes langgar lari, kerajaan berusaha tangani segera masalah liputan Internet di Julau

Social media applications on a mobile phone. — DayakDaily.com file pic

KUCHING, 4 Ogos: Kes seorang remaja perempuan meninggal dunia akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan Internet di Jalan Julau-Nanga Entabai di Sarikei pada Isnin lepas (2 Ogos) mendapat perhatian kerajaan.

Bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato Saifuddin Abdullah berkata kerajaan akan memastikan isu liputan Internet di kawasan tersebut ditangani.

Katanya, Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berkerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan isu liputan Internet di kawasan berkenan ditangani secepat mungkin.


“Buat masa ini, sejumlah 12 menara telekomunikasi telah siap dibina di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat kelolaan MCMC dan beroperasi sepenuhnya di Julau.

“Manakala dua menara lagi dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir suku keempat 2022,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Di kawasan kejadian, tambah beliau, sebuah menara baharu sedang dalam proses pembangunan oleh pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA).

Manakala di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), sebanyak 22 menara baharu dijangka akan mula dibina di daerah Julau bermula pada akhir suku keempat 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir suku keempat 2022.

Menurut Saifuddin, kerja-kerja naik taraf rangkaian kepada 4G juga sedang dijalankan di 19 stesen pemancar sekitar Julau sehingga penghujung tahun ini.

“Projek Jalur Lebar Menerusi Satelit (Wifi VSAT) akan turut dilaksanakan di 18 lokasi di sekitar daerah Julau.

“Projek ini dijangka mula dilaksanakan bermula September 2021 dan akan siap sepenuhnya pada disember 2021,” katanya lagi. — DayakDaily