KUCHING, April 29: Seorang suspek yang dikehendaki polis selepas disyaki terlibat dalam kes samun bersiri melibatkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar Kuching dan Padawan akhirnya berjaya ditangkap hari ini.
Suspek berusia 24 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis D9 IPK Sarawak diketuai ASP Lawrence Rawieng di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada pukul 12.45 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek terbabit diberkas sebaik pesawat yang dinaikinya dari Kota Kinabalu, Sabah mendarat di LTAK di sini.
Katanya, pasukan polis telah dimaklumkan terlebih dahulu bahawa suspek berkenaan akan menyerah diri di LTAK dan diiringi oleh peguamnya.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching pagi esok untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
DayakDaily pada April 27 lepas melaporkan polis kini sedang memburu seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun bersenjata di kedai 24 jam di sekitar pusat bandar raya ini.
Seorang suspek lelaki iaitu, Mohd Hisham Meran, 24, yang beralamat di No. 171A, Lorong 6E, Taman Malihah, Jalan Matang di sini masih bebas dan polis sedang mengesannya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek yang masih bebas ini diminta menghubungi balai polis yang terdekat.
Dengan tertangkapnya salah seorang dari ahli kumpulan itu pada April 16 lalu, polis yakin telah berjaya menyelesaikan 15 kes samun kedai serbaneka 24 jam yang dilaporkan tahun ini. — DayakDaily