Suspek rompakan di Jalan Piasau Utara 3G dicekup orang awam

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Julai: Seorang lelaki berusia 49 tahun berjaya ditangkap orang awam selepas disyaki merompak sebuah kedai runcit di Jalan Piasau Utara 3G semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.59 malam itu, mangsa bekerja sebagai juruwang di kedai runcit tersebut telah dihampiri suspek yang bersenjatakan sebilah parang. Suspek mengarahkan mangsa menyerahkan kesemua wang di dalam mesin tunai.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, mangsa ketakutan terus melarikan diri naik ke tingkat atas kedai sambil berteriak ‘perompak’ ke arah tingkat.

“Dalam keadaan kelam-kabut, suspek sempat melarikan diri bersama sebuah bag sandang yang mengandungi wang tunai sebanyak RM800 dan sebuah telefon bimbit,” ujar Lim.

Namun, suspek dicekup penduduk kampung berdekatan yang terdengar jeritan juruwang kedai tersebut.

Menurut saksi kejadian, suspek telah melarikan diri menggunakan sebuah motosikal tetapi telah terlibat dalam kemalangan apabila melanggar dua buah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

“Orang kampung telah menahan suspek dan terus membawa suspek ke kedai runcit tempat pengadu bekerja, sementara menunggu anggota polis sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod tiga kes melibatkan kesalahan dadah dan satu kes melibatkan pecah rumah. — DayakDaily