Suspek rogol gadis dicekup

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Mei 20: Selepas bersembunyi susulan diburu polis selepas terlibat dalam kes merogol seorang gadis di sebuah rumah pekerja di Kenyalang Park di sini Rabu lalu, seorang suspek berjaya dicekup polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, lelaki berusia 24 tahun yang juga merupakan suspek kedua diberkas sepasukan anggota polis pada pukul 3.50 petang.

Menurutnya, suspek terbabit ditahan di Lorong Stapok 20 di sini, manakala suspek pertama berjaya ditangkap pada Rabu lepas.


“Suspek akan direman bagi membantu siasatan kes tersebut, manakala suspek pertama telah direman selama tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Berdasarkan laporan mangsa, kejadian pada Rabu itu didakwa berlaku pada pukul 1.30 petang ketika dia sedang berehat di rumah pekerja di situ.

Bilik mangsa telah dipecah masuk dua lelaki tempatan tidak dikenali sebelum mengambil dompet dan telefon bimbit gadis tersebut.

Salah suspek turut didakwa mengacu pisau ke arah mangsa sebelum merogolnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. — DayakDaily