Pasukan tentera tumpaskan cubaan seludup 100 ekor ayam hidup

Anggota tentera menahan dua warga Indonesia yang disyaki cuba menyeludup keluar ayam hidup.

SERIAN, Mei 20: Pasukan tentera dari Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu DiRaja (13 RAMD) berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup keluar ayam hidup di Kawasan Am Tetangga Akrab kira-kira 700 meter dari garis sempadan Malaysia-Indonesia.

Pegawai Memerintah 13RAMD, Lt Kol Ismahizan Ishak berkata, pemandu lori yang membawa muatan ayam hidup itu serta seorang penumpang ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, sebelum kejayaan itu, pasukan tentera mengesan sebuah lori bergerak menuju ke kawasan sempadan negara dalam keadaan mencurigakan.

“Lapan anggota tentera yang bertugas kemudian menahan pemandu lori tersebut bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 100 ekor ayam hidup tanpa permit yang sah cuba diseludup keluar ke Kalimantan Barat, Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Ismahizan memberitahu, pasukan tentera kemudian menahan kedua-dua individu terbabit termasuk lori serta muatan untuk diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek itu berumur dalam lingkungan 40 tahun berasal dari Indonesia dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Dua suspek termasuk barang-barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Daerah Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua barangan terbabit dianggarkan kira-kira RM41,500,” ujarnya lagi. — DayakDaily