Lelaki maut dalam nahas motosikal langgar motosikal

Kelihatan dua buah motosikal yang terlibat dalam kemalangan.

BETONG, Mei 20: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Beladin-Meludam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang dikenalpasti sebagai Roslee Ebi telah disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, lelaki malang tersebut maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kakinya.


Jelasnya, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Beladin dari arah Meludam di sini.

“Namun, malang menimpa mangsa apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang disyaki menunggang secara melulu telah gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar motosikal mangsa.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi lelaki cedera ringan di kaki dan badannya,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, cuaca semasa kejadian adalah cerah dan permukaan jalan rata serta kering.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke klinik berhampiran sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily