Suspek rempuh polis sukarelawan di Kg Tabuan Melayu ditangkap

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 27 Julai: Seorang lelaki dipercayai dibawah pengaruh dadah ditangkap selepas bertindak merempuh anggota polis sukarelawan di Kampung Tabuan Melayu, di sini semalam.

Suspek berusia 21 tahun itu semasa kejadian dikatakan menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya dan ditahan sepasukan anggota pemantau Covid-19 yang menjalankan rondaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek bagaimanapun tidak berhenti lalu merempuh mangsa sehingga menyebabkan kecederaan retak pergelangan tangan kiri.


“Mangsa selain retak tulang pergelangan tangan kiri juga mengalami kecederaan di pinggang serta kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek dalam cubaannya melarikan diri itu berjaya ditangkap dan hasil saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana melakukan kekerasan dan mendatangkan kecederaan terhadap anggota bertugas,” katanya. — DayakDaily