Suspek ragut wanita di Matang diberkas polis

Motosikal yang dirampas daripada suspek dipercayai digunakannya semasa meragut mangsa.
Advertisement

KUCHING, 23 Jun: Seorang lelaki berusia 24 tahun ditangkap selepas disyaki terlibat meragut rantai emas seorang wanita di Jalan Taman Matang Bersinar, Jalan Matang semalam.

Difahamkan, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.45 pagi, semasa mangsa berada di kawasan luar rumahnya dan tiba-tiba dua lelaki datang dari arah belakang dengan menggunakan sebuah motosikal lalu meragut rantai emas dari lehernya.

Bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Advertisement

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Malihah, Jalan Matang.

Menurutnya, pasukan serbuan berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang berada di dalam rumah.

Menurutnya, suspek lelaki mengaku bersama seorang kawan lelakinya (masih bebas) melakukan kejadian meragut rantai emas milik mangsa.

Katanya, suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah itu juga mengaku meragut untuk mendapatkan wang perbelanjaan harian.

“Polis setakat ini masih mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek yang sama melakukan kejadian ragut,” katanya.

Sementara itu, pasukan serbuan turut merampas seutas rantai emas dipercayai milik mangsa dan sebuah motosikal untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement