Suspek narkotik melarikan diri

PDRM logo.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Ogos: Polis kini sedang memburu seorang tahanan jenayah narkotik yang melarikan diri dari Kompleks Mahkamah Miri ketika dibawa keluar dari trak polis pagi tadi (Rabu).

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Lim Meng Seah berkata bahawa suspek berumur 25 tahun dari Bandar Baru Permyjaya dipercayai melarikan diri sebaik tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Miri.

Suspek dikatakan tiba-tiba meloloskan diri sebaik turun dari kenderaan tersebut dalam insiden pukul 8.40 pagi itu.

“Tiga anggota pengawal pengiring telah membawa keluar seramai sembilan orang tahanan narkotik dari lokap polis di Balai Polis Pusat Miri (CPS) Miri ke mahkamah Miri untuk dituduh. Semua tahanan digarikan di tangan dengan menggunakan gari jenis berantai, ketika sampai di mahkamah, dalam proses turun dari motor lori ‘black maria’, salah seorang tahanan telah merentap tangan dari gari tersebut dan terlepas dari gari, suspek terus berlari meloloskan diri ke arah luar kawasan mahkamah,” jelas Lim.

Semasa kejadian, suspek memakai baju lengan panjang warna hitam dan berseluar panjang warna kelabu.

“Saspek berbadan kecil dan kurus,” kata Lim.

Beliau menggesa orang awam sekiranya terlihat suspek, untuk terus menghubungi balai polis terdekat atau CPS di talian 085-43222 atau bilik gerakan IPD Miri 085-433400 atau 085-433730.—DayakDaily