Covid-19: 11 kes positif baharu dengan 8 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Ogos: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 11 kes baharu positif Covid-19
dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan lapan kes import dan tiga kes penularan dalam negara.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,114 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 172 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, daripada lapan kes import yang dilaporkan, tujuh kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Manakala tiga kes penularan dalam negara pula melibatkan dua warganegara dan satun bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak lapan kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 8,817 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat satu kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan
pernafasan,” katanya. — DayakDaily