Suspek mahukan barang kemas, motif pembunuhan wanita di Jln Setia Raja

Mancha (kanan) pada Pelancaran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024 pada 18 Disember 2024.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Dis: Motif pembunuhan wanita yang mayatnya hampir reput ditemukan di kawasan longkang Jalan Setia Raja adalah disebabkan oleh keinginan suspek untuk mendapatkan barang kemas milik mangsa.

Pesuruhanjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, berkata suspek memerlukan barang kemas tersebut untuk digadai bagi menampung perbelanjaan perjalanan ke Kemboja bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.

Advertisement

“Setakat ini ada rekod pengakuan dari suspek dengan bukti-bukti bahawa beliau terlibat dalam kes pembunuhan tersebut. Suspek (sendiri menunjukkan) dimana mangsa dibuang,” jelas Mancha ketika ditemui hari ini selepas merasmikan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024.

Tambahnya, suspek yang berusia 23 tahun itu telah ditangkap pada Sabtu lepas. Berdasarkan siasatan dan pengakuan suspek, Mancha yakin kes ini hampir selesai.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 22 Disember dan proses mengenal pasti identiti mayat serta bedah siasat sedang dilakukan bagi membantu siasatan.

“Semalam, pihak polis sekali lagi ke lokasi penemuan dan menjumpai rambut serta gigi yang dipercayai milik mangsa. Pada hari pertama penemuan, mayat (mangsa) tidak lengkap,” tambah Mancha.

Mayat wanita yang hampir mereput itu ditemukan orang awam sekitar pukul 9.00 malam pada 14 Disember. Penemuan mayat itu dikaitkan dengan kehilangan seorang wanita berusia 26 tahun yang dilaporkan hilang sejak 5 Disember lalu. –DayakDaily

Advertisement