Suspek libas parang di Jalan Upper Lanang, Sibu ditangkap

Tangkap layar dari video kejadian yang tular di media sosial.

SIBU, 3 Ogos: Lelaki yang didakwa melibas parang ke atas sebuah kereta di Jalan Upper Lanang, di sini telah ditangkap polis untuk membantu siasatan.

Suspek, 27 tahun, terbabit ditangkap anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu pada jam 1 petang susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 37 tahun pada jam 10 pagi hari yang sama.

Difahamkan video kejadian tersebut telah tular di media sosial menunjukkan suspek yang dikatakan memandu kereta jenis Perodua Kancil melibas parang ke arah kereta pengadu.


Kejadian dipercayai berpunca apabila pengadu membunyikan hon keretanya.

Bagaimanapun siasatan lanjut kes masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam siaran medianya mengesahkan tangkapan suspek yang akan direman di Mahkamah Sibu hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily